Wednesday, July 28, 2010

Minggu 3 : Jurnal Refleksi


Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia..Bertemu kembali dalam Jurnal Refleksi untuk Minggu ke-3..Bersyukur ke hadrat ilahi kerana saya masih berkesempatan untuk menulis segala pembelajaran yang saya peroleh sepanjang saya mengikuti kelas Muzik Tradisional Malaysia pada minggu ke-3.Pertama sekali saya ingin melahirkan rasa gembira kerana saya dapat menyelesaikan tugasan yang diberi pada minggu ke-2 iaitu Latihan Lisan Pendengaran. Bagi saya ini merupakan suatu pengalaman yang tidak ternilai kerana saya dapat mengetahui jenis ensembel yang dipersembahkan melalui pendengaran. Sebelum ini saya pernah mendengar muzik tersebut tetapi tidak pernah ambil tahu mengenai jenis muzik dan alatan muzik yang digunakan. Melalui latihan seperti ini ia dapat menguji tahap pendengaran dan kepekaan kita terhadap jenis muzik dan alatan muzik yang digunakan. Selain itu kita dapat mengkaji asal usul muzik berkenaan melalui pencarian di internet. Bagi saya ini merupakan satu langkah ke arah menguji tahap kefahaman pelajar terhadap sesuatu muzik dan pelajar akan lebih menghargai setiap muzik yang dipersembahkan.
Seterusnya, pada kelas minggu ke-3, pensyarah telah menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kaedah klasifikasi muzik tradisional Malaysia, kategori muzik tradisional Malaysia dan ciri-ciri muzik tradisional Malaysia. Budaya muzik Cina, India dan Eropah mempunyai sistem penyusunan alat muzik mengikut kategori. Bagi Cina terdapat 8 Kumpulan Asas iaitu Logam, Batu, Kain, Tanah, Kulit, Labu Kering, Buluh dan Kayu. Bagi India pula, berdasarkan Natyashastra pada Abad pertama sebelum masihi iaitu Gong, Simbal, Loceng, Gendang (drums), Alat bertali (strings) dan Alat tiupan (winds). Manakala bagi Eropah pula, berdasarkan Victor Charles Mahillon (1880) Sistem Taksonomy iaitu Idiophone, Membranophone, Kordofon, Aerofon dan diperkemaskan semula oleh Curt Sachs, Eric Von Hornbostels (1914). Klasifikasi Alat Muzik Barat mengikut kategori iaitu perkusi, bertali dan tiupan. Ciri-ciri utama yang terdapat dalam Muzik Tradisional Malaysia terbahagi kepada dua iaitu Tradisi Besar dan Tradisi Kecil dan kedua-dua tradisi ini terdapatnya persamaan. Lima kategori utama muzik iaitu Muzik Rakyat, Muzik Klasik, Muzik Sinkretik dan Muzik Kontemp. Terdapat enam ciri Muzik Tradisional Malaysia iaitu Bentuk Seni Lakon Utama, Bentuk Tarian Utama, Ensembel Genderang, Vokal dan Instrumental Solo, Ensembel Sosial Popular dan Ensembel Lain. Muzik Bentuk Seni Lakun Utama (Dramatari) termasuklah ciri-ciri teater dan muzik wilayah. Contohnya seperti Mak Yung, Wayang Kulit, Mekmulung, Bangsawan, Randai dan Opera Cina. Muzik Bentuk Tarian Utama (Dramatari) pula merupakan Tradisi Muzik yang mengiringi tarian. Bagi Muzik Ensembel Genderang, ia merupakan Stand Alone atau mengiringi muzik bentuk tarian utama. Muzik ini akan diiringi aktiviti kerja, upacara dan ritual tertentu atau seni mempertahankan diri. Contohnya Kompang, Hadrah, Rodat, Dabus, Gendang Keling, Nobat, Cak Lempong, Alat buluh/kayu yg dipukul (alu dan Tangbut, Huduk Apa, Bek Alu, Kesut, Tumbuk Kalang, Ensembel Gong besar (Sarawak) dan Kertuk. Seterusnya, Muzik Vokal Dan Instrumental Solo iaitu melibatkan seluruh aspek masyarakat seperti meraikan anak yg baru lahir, sosiolisasi dan funeral. Muzik Ensembel Sosial Popular merupakan cantuman unsur muzik tempatan dengan unsur muzik budaya luar.Contohnya seperti Ronggeng, Dondang Sayang, Keroncong, Dikir Barat dan Orkestra Cina Moden (Huayue Tuan). Terakhir, Muzik Bentuk Lain iaitu terdapat pelbagai genre muzik di Malaysia masil belum selidik, dokumentasi dan dianalisis secara mendalam.
Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa, kaedah klasifikasi muzik tradisional sangat penting untuk diketahui agar kita dapat membezakan dan membandingkan sesuatu alat muzik mengikut kebudayaan masing-masing. Setiap negara mempunyai jenis alat muzik yang berbeza dengan negara lain. Kepelbagaian alat muzik sesuatu budaya melambangkan keunikan dan kekuatan muzik tersebut. Dalam zaman moden kini, alat muzik tidak hanya tertumpu pada satu-satu genre muzik sahaja, malah ia boleh digabungkan mengikut kesesuaian muzik yang hendak dihasilkan. Jadi pemilihan alat muzik sangat penting. Kita juga dapat memahami kategori muzik seperti muzik rakyat, muzik klasik dan sebagainya supaya keaslian dan mutu muzik itu dapat dipelihara dan mempunyai nilainya tersendiri. Saya beranggapan mendalami klasifikasi dan mengetahui ciri-ciri muzik tradisional merupakan satu perkara yang sangat penting untuk kita lebih jauh mengetahui tentang muzik-muzik lain kerana wujudnya muzik-muzik moden pada hari ini adalah kesinambungan daripada muzik-muzik tradisional.

Teruskan Membaca...

Sunday, July 25, 2010

Jurnal Refleksi

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia. Saya ingin berkongsi pengalaman saya sepanjang saya mengikuti kursus SMP 2252 Muzik Tradisional Malaysia. Pada permulaan kelas ini iaitu pada minggu pertama, saya telah didedahkan dengan cara pembinaan weblog untuk kegunaan kuliah. Pada awalnya saya mengalami sedikit masalah kerana inilah kali pertama saya belajar membuat blog. Tetapi dengan dorongan pensyarah saya iaitu Encik Amran Aris dan kawan-kawan, akhirnya saya berjaya juga menghasilkan blog saya sendiri. Pada minggu kedua, saya telah mempelajari tentang soundscapes, budaya, sejarah, kategori alat muzik dan struktur. Sound merujuk kepada suara atau bunyi manakala scape merujuk kepada pemandangan. Budaya muzik pula merujuk kepada penglibatan menyeluruh berkaitan muzik seperti idea, aksi, institusi an material. Sejarah muzik banyak dipengaruhi oleh pengaruh pedagang Arab atau Hindu, Indonesia, Thailand dan Barat. Kategori alat muzik terdiri daripada kordofon, membranofon, aerofon dan idiofon. Struktur muzik pula terdiri daripada melodi, ritma, harmoni, form, notasi dan ekspresi. Hasil yang saya peroleh sepanjang saya mengikuti kursus ini ialah saya dapat mengenali dan memahami dengan lebih mendalam mengenai muzik tradisional Melayu walaupun baru 2 minggu saya mengikuti kursus ini. Apa yang saya tahu mengenai muzik tradisional ini ialah tarian tradisonal Melayu seperti zapin, kuda kepang, gamelan,lilin, inang dan joget. Muzik tradisional Melayu pula seperti dikir barat, dondang sayang, ghazal, gamelan dan dikir rebana.

Bagi saya, peranan muzik tradisional Melayu penting dalam menyampaikan mesej dan sebagai alat komunikasi. Masyarakat Melayu di Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian tradisional yang unik dan istimewa. Berbeza–beza dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti di negeri Melaka terdapat kesenian dondang sayang, nazam, dabus dan rebana keras. Di negeri Kelantan pula terdapat seni persembahan wayang kulit Kelantan, makyung, menora, tari asyik, dikir barat dan rebana kercing. Di Negeri Sembilan terdapat kesenian randai dan muzik caklempong. Di Negeri Johor terdapat kesenian kuda kepang mabuk, zapin dan ghazal. Di Kedah pula terdapat jikey, wayang kulit gedek dan makyung laut. Di Perak terdapat dabus dan hadrah. Di Pahang pula terdapat muzik gamelan, joget gamelan dan lagu–lagu rakyat.

Kesemua kesenian–kesenian di atas bukan sahaja berfungsi untuk tujuan hiburan malah berperanan sebagai saluran komunikasi tradisional dalam masyarakat. Antara medium komunikasi tradisi masyarakat Melayu yang penting ialah muzik tradisional Melayu.
Penggunaan muzik tradisional Melayu sebagai media warisan amat penting dalam proses komunikasi tradisional tidak hanya melibatkan manusia sahaja, malah peralatan yang membantu proses tersebut. Penggunaan alat muzik tradisional dalam proses komunikasi pernah disarankan Abdul Latiff Abu Bakar (2000; 1-7) dalam penulisan yang bertajuk ‘Idea dan Gagasan Gendang Nusantara Sebagai Alat Media dan Seni Rumpun Melayu’. Menurut beliau, “ Gendang boleh digunakan sebagai alat komunikasi tanpa lisan bagi menyampaikan mesej kepada penonton atau orang ramai. Komunikasi lisan pula disampaikan melalui lagu mereka, gendang pula sebagai komunikasi. Tanpa Lisan yang digunakan bagi menjelaskan sesuatu mesej tersebut dan menaikkan semangat. Penggunaan alat muzik tradisional Melayu sebagai alat media dalam proses komunikasi yang berfungsi memberi maklumat, hiburan dan pendidikan kepada masyarakat.

Diharapkan dengan pembabitan saya dalam kursus ini akan memberikan saya lebih ilmu dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kepentingan muzik tradisional Malaysia agar khazanah tradisional ini Tidak Lapuk Dek Panas, Tidak Lekang Dek Hujan. Semoga saya menjadi salah seorang daripada pencinta muzik tradisional Malaysia demi memartabatkan muzik ini setanding dengan muzik lain.


Teruskan Membaca...
 

Blog pelajar kump A

Blog pelajar kump B

Blog pelajar kump C

SMP2252Fienaz Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template