Sunday, July 25, 2010

Jurnal Refleksi

Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia. Saya ingin berkongsi pengalaman saya sepanjang saya mengikuti kursus SMP 2252 Muzik Tradisional Malaysia. Pada permulaan kelas ini iaitu pada minggu pertama, saya telah didedahkan dengan cara pembinaan weblog untuk kegunaan kuliah. Pada awalnya saya mengalami sedikit masalah kerana inilah kali pertama saya belajar membuat blog. Tetapi dengan dorongan pensyarah saya iaitu Encik Amran Aris dan kawan-kawan, akhirnya saya berjaya juga menghasilkan blog saya sendiri. Pada minggu kedua, saya telah mempelajari tentang soundscapes, budaya, sejarah, kategori alat muzik dan struktur. Sound merujuk kepada suara atau bunyi manakala scape merujuk kepada pemandangan. Budaya muzik pula merujuk kepada penglibatan menyeluruh berkaitan muzik seperti idea, aksi, institusi an material. Sejarah muzik banyak dipengaruhi oleh pengaruh pedagang Arab atau Hindu, Indonesia, Thailand dan Barat. Kategori alat muzik terdiri daripada kordofon, membranofon, aerofon dan idiofon. Struktur muzik pula terdiri daripada melodi, ritma, harmoni, form, notasi dan ekspresi. Hasil yang saya peroleh sepanjang saya mengikuti kursus ini ialah saya dapat mengenali dan memahami dengan lebih mendalam mengenai muzik tradisional Melayu walaupun baru 2 minggu saya mengikuti kursus ini. Apa yang saya tahu mengenai muzik tradisional ini ialah tarian tradisonal Melayu seperti zapin, kuda kepang, gamelan,lilin, inang dan joget. Muzik tradisional Melayu pula seperti dikir barat, dondang sayang, ghazal, gamelan dan dikir rebana.

Bagi saya, peranan muzik tradisional Melayu penting dalam menyampaikan mesej dan sebagai alat komunikasi. Masyarakat Melayu di Malaysia kaya dengan pelbagai kesenian tradisional yang unik dan istimewa. Berbeza–beza dari satu tempat ke satu tempat yang lain seperti di negeri Melaka terdapat kesenian dondang sayang, nazam, dabus dan rebana keras. Di negeri Kelantan pula terdapat seni persembahan wayang kulit Kelantan, makyung, menora, tari asyik, dikir barat dan rebana kercing. Di Negeri Sembilan terdapat kesenian randai dan muzik caklempong. Di Negeri Johor terdapat kesenian kuda kepang mabuk, zapin dan ghazal. Di Kedah pula terdapat jikey, wayang kulit gedek dan makyung laut. Di Perak terdapat dabus dan hadrah. Di Pahang pula terdapat muzik gamelan, joget gamelan dan lagu–lagu rakyat.

Kesemua kesenian–kesenian di atas bukan sahaja berfungsi untuk tujuan hiburan malah berperanan sebagai saluran komunikasi tradisional dalam masyarakat. Antara medium komunikasi tradisi masyarakat Melayu yang penting ialah muzik tradisional Melayu.
Penggunaan muzik tradisional Melayu sebagai media warisan amat penting dalam proses komunikasi tradisional tidak hanya melibatkan manusia sahaja, malah peralatan yang membantu proses tersebut. Penggunaan alat muzik tradisional dalam proses komunikasi pernah disarankan Abdul Latiff Abu Bakar (2000; 1-7) dalam penulisan yang bertajuk ‘Idea dan Gagasan Gendang Nusantara Sebagai Alat Media dan Seni Rumpun Melayu’. Menurut beliau, “ Gendang boleh digunakan sebagai alat komunikasi tanpa lisan bagi menyampaikan mesej kepada penonton atau orang ramai. Komunikasi lisan pula disampaikan melalui lagu mereka, gendang pula sebagai komunikasi. Tanpa Lisan yang digunakan bagi menjelaskan sesuatu mesej tersebut dan menaikkan semangat. Penggunaan alat muzik tradisional Melayu sebagai alat media dalam proses komunikasi yang berfungsi memberi maklumat, hiburan dan pendidikan kepada masyarakat.

Diharapkan dengan pembabitan saya dalam kursus ini akan memberikan saya lebih ilmu dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai kepentingan muzik tradisional Malaysia agar khazanah tradisional ini Tidak Lapuk Dek Panas, Tidak Lekang Dek Hujan. Semoga saya menjadi salah seorang daripada pencinta muzik tradisional Malaysia demi memartabatkan muzik ini setanding dengan muzik lain.


1 comments:

Fienaz Syafinaz on July 26, 2010 at 12:44 AM said...

akhirnya sy berjaya membuat jurnal refleksi.....=))

 

Blog pelajar kump A

Blog pelajar kump B

Blog pelajar kump C

SMP2252Fienaz Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template